Sekejap sahaja masa telah berlalu. Dengan masuknya tahun 2012 Masihi, maka aku akan berumur 30 tahun. Wow! What a wonderful life I've been go through... Macam-macam perkara telah berlaku dalam hidup aku. Sedikit imbasan kisah hidupku untuk buat aku lebih mengenal diri dan selalu bersyukur di atas pemberian-Nya...
Aku dilahirkan pada pukul 3 pagi. Menurut abang-abang dan emak yang selalu bercerita ketika kelahiranku, seluruh Merlimau bergelap sekejap kerana ambulan terlanggar wayar elektrik, almaklumlah, awal 80-an, mungkin sistem utiliti tidak secanggih sekarang. Aku membesar di dalam sebuah keluarga yang besar dengan semuanya lelaki. Ayah seorang nelayan dan emak seorang suri rumah. Aku lalui hidup seperti kanak-kanak kampung seadanya. Main tangkap ikan pelaga, pancing ikan betuk (ikan puyu), petang-petang pergi cari kambing, halau ayam masuk reban. Kadang-kadang balik sekolah agama petang-petang tu, pergi rumah kawan makan tebu, panjat pokok asam jawa, cari buah nipah. Hujung minggu masuk kebun cari kelapa (sekarang kebun tu dah jadi milik orang lain). Macam-macam aktiviti di zaman kanak-kanak dengan kehidupan di kampung yang menyegarkan.
Ayah meninggal dunia semasa aku berumur 13 tahun lebih. 30 Disember 1996. Masuk hari ini, arwah ayah telah pergi hampir 15 tahun, hampir separuh hayat aku hidup tanpa ayah disisi. Bermula detik itu, kehidupan aku mula berubah. Susah payah kehidupan kami tanggung sekeluarga dengan emak yang tidak bekerja dan mengharapkan ihsan Bang Long dan Bang Ngah untuk tanggung hidup kami sekeluarga. Walaupon arwah ayah tidak sempat merasa hasil titik peluh aku dan adik beradik yang lain, aku sentiasa doakan arwah ayah ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan kami akan berusaha membuat emak gembira dan senang di hari-hari tuanya.
Aku masuk ke sekolah asrama semasa tingkatan 4 (atas paksaan Bang Ngah) . Kemudian masuk universiti dan alhamdulillah kehidupan berlalu dengan mudah. Seperti cerita tipikal di dalam buku-buku cerita atau cerpen-cerpen yang aku baca semasa sekolah rendah di mana anak orang susah, anak orang kampung, dapat keputusan cemerlang dan kemudian sambung belajar akhirnya berjaya mendapat pekerjaan yang bagus untuk menanggung keluarga. Tipikal kan? Tapi aku bersyukur, kerana cerita-cerita itu sebenarnya yang mendorong aku dalam diam untuk menjadi seperti itu.
Aku dipertemukan jodoh dengan seorang lelaki yang amat memahami diri ini. Seorang lelaki yang menjadi pelengkap kepada kehidupanku. Alhamdulillah, aku juga telah dikurniakan seorang cahaya mata yang menyerikan lagi hari-hari kehidupanku. Sehingga hari ini, aku sangat berterima kasih, syukran lillah di atas kurniaMu ya Allah. Semoga hari-hari mendatangku akan dilimpahkan lagi dengan rahmat dan barakah dari mu. Moga aku dan keluargaku diberkati olehNya dan mendapat syafaat Rasulullah dan ahli keluarganya. Amin...